Monday, June 22, 2020

AMARAN

AMARAN

  1. Ebook ini adalah hak cipta terpelihara www.abshaatiah.blogspot.com.
  2. Anda dilarang sama sekali mengubah, mengedarkan atau menjual ebook ini kepada orang lain.
  3. Sebarang tindakan yang menyalahi etika penerbitan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
  4. Oleh itu, anda hendaklah melaporkan kepada pihak admin sekiranya menerima ebook ini tanpa www.abshaatiah.blogspot.com.
  5. Tindakan anda amatlah dihargai bagi membanteras kegiatan-kegiatan sebegini.
  6. Jika anda memilikinya secara tidak sah, saya tidak menghalalkannya di dunia dan akhirat.

Yang benar,
www.abshaatiah.blogspot.com.

Saturday, June 20, 2020

BAB 1: INTRO


PENGACARA MAJLIS

Sebelum penulis membincangkan dengan lebih lanjut berkaitan panduan-panduan yang boleh diikuti oleh seorang pengacara majlis dalam Bab 1 ini, mari ketahui dahulu siapakah pengacara majlis?  

Nurul Aiman et al (2009) memperihalkan pengacara majlis sebagai nadi sesebuah majlis yang berperanan mengawal majlis, membuat pengumuman dan memberi panduan kepada para tetamu. 

Nooraifa et al (2008)  pula mendefinisikan pengacara majlis ialah seseorang yang membuat pengumuman mengenai atur cara sesuatu majlis formal atau tidak formal sebagai satu panduan kepada hadirin tentang apa-apa yang akan berlaku mengikut urutan acara majlis. 

Manakala, Aiman Fadhil (2010) dan Sophian (2019) mentakrifkan pengacara majlis sebagai seseorang yang dilantik secara rasmi untuk dipertanggungjawabkan dalam pengendalian sesebuah majlis mengikut atur cara yang telah ditetapkan dan merujuk skrip yang telah diluluskan serta berpandukan arahan pegawai protokol atau pengurus majlis (floor manager).  

Penulis melihat bahawa pengacara majlis merupakan individu yang paling penting dalam sesebuah majlis. Tanpa pengacara majlis, sesuatu majlis itu tidak boleh berlangsung. Beliau ialah orang yang akan memimpin sesuatu acara dalam sesebuah majlis dan beliau jugalah yang akan memberitahu tetamu tentang acara yang bakal berlangsung dalam majlis tersebut. 

Amanah menjadi seorang pengacara majlis, diibaratkan seperti anda diberi stereng untuk memandu sebuah bas yang dipenuhi oleh pelancong. Mengapakah saya mengatakan sedemikian? 

Hal ini kerana pengacara majlis berfungsi sebagai ketua untuk memastikan perjalanan program berlangsung dengan lancar dan tersusun. Perkara ini memperlihatkan bahawa sebenarnya pengacara majlis memainkan peranan yang besar dalam menentukan kejayaan ataupun kegagalan sesebuah majlis. 

Majlis akan menjadi hambar dan kurang mendapat tumpuan ramai sekiranya apa-apa yang ingin disampaikan oleh pengacara majlis tidak efektif dan tidak memberi kesan. Pengacara majlis jugalah yang akan menentukan majlis tersebut mendatar, menarik atau membosankan. 

Bahkan, apabila berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan ketika mengendalikan majlis, pengacara majlis akan berperanan sebagai back up untuk melindungi kekurangan majlis tersebut.


Tuesday, June 16, 2020

BAB 4: SKRIP 1


BAB 4

KOLEKSI TEKS PENGACARAAN MAJLIS


Dalam bab ini, penulis berkongsi contoh-contoh teks pengacaraan majlis yang ditulis sendiri berdasarkan pengalaman peribadi ketika mengendalikan acara. 

Oleh itu, nama-nama yang digunakan sebagai contoh dalam teks ini merupakan individu yang pernah berada dalam majlis tersebut.


PROGRAM MOTIVASI KEIBUBAPAAN: 
TAUTAN MESRA KASIH SIRI 1

TENTATIF
SKRIP
Ucapan Alu-Aluan Pengacara Majlis

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلوة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين.
رب اشرح لي صدري ويسرلي امري وحلل عقدة من لساني يفقح قولي.

Yang Berusaha,
Puan Hajah Asmah binti Haji Latip,
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Malim.

Yang Berbahagia,
Datuk Mokhtar bin Harun,
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Malim.

Yang Dihormati,
Puan Masrah binti Ahmad,
Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Malim.

Puan Asnah binti Hamid,
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Malim.
Puan Ratna binti Hashim,
Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Malim.

Puan Siti Salmiah binti Selamat,
Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Malim.

Seterusnya, guru-guru Sekolah Kebangsaan Malim, ahli-ahli jawatankuasa PIBG, para ibu bapa, penjaga, tuan-tuan, puan-puan dan anak didik yang dirahmati Allah sekalian.

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.  
Bacaan Doa
Hadirin hadirat yang dikasihi sekalian,

Tetak buluh jenuh berpeluh,
Disusun rapi diikat-ikat;
Menadah tangan jemari sepuluh,
Doa diminta mohon nan berkat.

Pembuka tirai Program Motivasi Keibubapaan: Tautan Mesra Kasih Siri 1 pada malam yang barakah ini, dipersilakan Ustaz Izham Asri bin Ibrahim untuk memimpin bacaan doa.

Dengan penuh takzim majlis mempersilakan.

(Bacaan Doa)

Amin ya rabbal ‘alamin. Terima kasih diucapkan atas bacaan doa itu tadi. Semoga majlis ini diberkati Allah SWT. Insya-Allah.

Ucapan
YDP PIBG
Tuan-tuan, puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Majlis pada malam ini diteruskan dengan menjemput Yang Berbahagia, Datuk Mokhtar bin Harun, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Malim untuk menyampaikan ucapan.

Dengan segala hormatnya, dipersilakan.

(Ucapan)

Majlis merakamkan jutaan terima kasih atas ucapan itu tadi.
Ucapan
Guru Besar
Hadirin hadirat yang dimuliakan,

Tanpa melengahkan masa, agenda pada malam ini diteruskan lagi dengan mempersilakan Yang Berusaha, Puan Hajah Asmah binti Haji Latip, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Malim bagi menyampaikan ucapan.

Dengan segala hormatnya dipersilakan.

(Ucapan)

Majlis merakamkan jutaan terima kasih atas ucapan itu tadi.

Sesi Dialog
Agenda seterusnya pada malam ini ialah sesi dialog ibu bapa dan pihak sekolah. Dengan ini, saya mempersilakan Yang Dihormati, Puan Masrah binti Ahmad, Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Malim untuk meneruskan sesi dialog ini.

Dipersilakan.

(Sesi Dialog)

Terima kasih diucapkan kepada Yang Dihormati, Puan Masrah binti Ahmad, Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Malim untuk slot sesi dialog yang telah dikendalikan sebentar tadi.
Taklimat
Pada malam ini, kita juga akan mendengar satu taklimat berkaitan dengan Pemakanan Sihat dan Tips Ibu Bapa Cemerlang yang akan disampaikan oleh Puan Nordahlela binti Mohd Nasir selaku Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Malim.

Sukacitanya saya menjemput Puan Nordalela binti Mohd Nasir untuk meneruskan agenda.

Dipersilakan.

(Taklimat)

Terima kasih diucapkan kepada Puan Nordalela binti Mohd Nasir atas penyampaian taklimat itu tadi.
Penutup
Ke Kuala Perlis mengail ikan,
Ikan kelisa dalam perigi;
Tirai majlis kami labuhkan,
Di lain masa berjumpa lagi.

Dengan berakhirnya slot taklimat itu tadi, maka berakhirlah Program Motivasi Keibubapaan: Tautan Mesra Kasih untuk siri yang pertama. Akhir kalam dari saya, maaf atas keterlanjuran kata dan bahasa sepanjang mengendalikan program ini.

Jamuan Ringan VIP
Dijemput kepada Yang Dipertua PIBG, guru besar, barisan pentadbir dan ahli-ahli jawatankuasa PIBG untuk ke kantin bagi menikmati jamuan ringan.

Dipersilakan.

Majlis dengan ini bersurai.




BAB 3: STRATEGI


BAB 3

STRATEGI LANCAR DI PENTAS

Panduan asas sudah diberikan. Tip untuk bijak beraksi di pentas juga sudah dikongsikan. Jadi, apa lagi yang perlu anda tahu? Satu perkara yang mesti anda ingat ialah senjata utama pengacara majlis, iaitu kelancaran lidah berkata-kata! Maka, apakah rahsia untuk anda lancar di pentas?

Penulis menekankan tiga perkara yang mesti dititikberatkan oleh pengacara majlis, iaitu:

  • Kesihatan diri
  • Perasaan dan emosi
  • Latihan pengucapan

Saturday, June 13, 2020

BAB 5: PANTUN 1



PANTUN PEMBUKA


Al-Quran mukjizat kalam tersusun,
Merdu alunan terpaut di hati;
Berkat dihajat nikmat dipohon,
Majlis dimulakan sama hayati,

Asal juragan mengail ikan,
Sambil bersuka tepian kuala;
Masa jangan kita tangguhkan,
Tirai dibuka majlis bermula.

Bunga rampai mari taburkan,
Air mawar direnjis-renjis;
Para undangan kami raikan,
Jadi penawar penyeri majlis.

Cenderawasih terbang di awan,
Singgah meniti gaharu alami;
Terima kasih padamu tuan,
Sudi penuhi jemputan kami.

Tampak berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Lafaz bismillah pembuka bicara.

Riuh kota di kala petang,
Dagang berbalah mengaut laba;
Pemanis kata selamat datang,
Lafaz bismillah ucapan hamba.

Beras segantang di atas papan,
Buat menjamu orang di bendang;
Selamat datang semanis ucapan,
Untuk tetamu yang kami undang.

Kebaya butang cantik disulam,
Dihias intan molek dipandang;
Selamat datang semanis kalam,
Buat jemputan yang kami undang.
  
Cantik di mata kain direntang,
Sulam berbatu intan suasa;
Pemanis kata selamat datang,
Diiring restu berkat Yang Esa.

Tampak kelam di hujung permatang,
Kalau tak salah anak bentara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Ilmu dicita luas terbentang,
Merentas daerah menuntut kembara;
Pemanis kata selamat datang,
Awal bismillah pembuka acara.

Molek bersukan di kala petang,
Itu pesanan semat di jiwa;
Kami ucapkan selamat datang,
Dalam Kejohanan Olahraga SKTPP2.

Dedaun gugur menghijau alam,
Merah dedap mewarna pusara;
Salam kuhulur pembuka kalam,
Turuti adab tertib bicara.

Singkap makalah mencari aksara,
Menyusun kalam ungkapan lidah;
Awal bismillah pembuka bicara,
Kuucap salam seindah madah.


BAB 2: TIP 1



BAB 2

BIJAK BERAKSI DI PENTAS

Apabila panduan asas pengacara majlis seperti yang dibincangkan dalam Bab 1 dilaksanakan, maka anda tidak perlu lagi terlampau risau. Peratus kebimbangan anda sekurang-kurangnya telah sedikit menurun kerana anda sudah pun melakukan persediaan. Jadi, adakah anda bersedia untuk beraksi di pentas? 

Tahukah anda, bagaimanakah caranya untuk seseorang pengacara majlis kelihatan terampil dan bijak beraksi di pentas? Jom, ikuti perkongsian penulis dalam Bab 2 ini, iaitu beberapa tip berguna yang boleh anda lakukan!   

BERGURU

Apabila anda terpilih buat pertama kali untuk menjadi seorang pengacara majlis, tentulah anda akan berasa seperti sesat jalan kerana anda tidak ada pengalaman dalam bidang yang berkaitan. Oleh sebab itulah, anda perlu belajar daripada seseorang yang telah mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut. Hal ini penting untuk meminimumkan peratusan anda membuat kesilapan semasa mengacarakan sesebuah majlis. 
Ada banyak baiknya jika anda meminta bantuan dan merujuk rakan-rakan yang lebih pakar dan berpengalaman terutamanya dalam aspek bahasa. Kadangkala pemilihan perkataan yang anda gunakan terlalu bombastik. Tidak salah jika anda menggunakan perkataan yang canggih ini tetapi mesti diingat, siapakah penonton atau tetamu anda? Di manakah tahap pemikiran mereka? Mohonlah tunjuk ajar dan pendapat daripada mereka yang lebih senior. Insya-Allah, ada ganjarannya. Merendah diri itu akan mengangkat darjat dan martabat berlipat kali ganda. 

Selain itu, anda juga boleh menghadiri bengkel dan kursus pengacaraan yang dikendalikan oleh pengacara majlis yang sangat berpengalaman. Bergurulah! Jangan hanya mengharap bacaan daripada buku. Pelaburan anda untuk menyertai program sebegini sebenarnya amat berbaloi. Anda berpeluang untuk berkenalan dengan peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan insan-insan hebat dalam dunia pengacaraan. Percayalah, anda tidak akan rugi! Paling penting, anda tidak akan berasa keseorangan kerana ramai lagi insan seperti anda. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan. Begitulah. 




BAB 1: 3P


B) PERSEDIAAN KETIKA MAJLIS BERLANGSUNG

Pengacara majlis juga perlu mengambil perhatian tentang 3P, iaitu:

  • Persiapan diri
  • Pengendalian majlis 
  • Penyampaian 

PERSIAPAN DIRI


Kehadiran awal. Ya, apabila hari kejadian tiba, hadirlah lebih awal. Saidah Shahid (2013) juga ada menyatakan bahawa pengacara majlis perlu hadir sekurang-kurangnya 30 minit lebih awal untuk memastikan persiapan majlis telah diatur sebaiknya. 

Salah satu etika yang perlu dipatuhi oleh seorang pengacara majlis ialah menepati masa. Hadir satu jam awal sebelum majlis adalah lebih baik (Sophian, 2019). Biar pengacara menanti audiens, jangan biarkan audiens menanti pengacara! Pastikan diri anda benar-benar bersedia.

Kehadiran awal dapat memberi ruang kepada pengacara majlis untuk memeriksa tempat mengacara terlebih dahulu dan menguji keberkesanan mikrofon agar berfungsi dengan baik. Kehadiran awal juga sebenarnya membantu pengacara majlis untuk tampil lebih yakin. Tanpa keyakinan diri, seseorang individu tidak akan dapat berdepan dengan penonton sebagai pengacara majlis.  

Keyakinan diri yang teguh ialah asas yang perlu dimiliki oleh semua pengacara majlis. Anda mesti menepis rasa gemuruh, gugup, gementar, berdebar, takut dan segala perasaan negatif yang wujud dalam diri anda pada masa anda diperlukan untuk mengendalikan sesebuah majlis. Bersedia ialah kunci segala-galanya yang akan membantu anda berada pada tahap meyakinkan. 

Namun, penulis berminat untuk menyarankan para pembaca agar mengamalkan tiga rahsia keyakinan diri yang dikongsi oleh Osman Affan (2013). Rahsia pertama beliau ialah apabila anda rasa tidak yakin dengan diri anda, ketahuilah bahawa orang lain tidak tahu yang anda tidak yakin. Jadi, jika anda berlagak bersahaja, orang pasti nampak yang anda ialah orang yang berkeyakinan dan bersemangat tinggi. 

Kedua, ketahuilah bahawa keyakinan diri itu sebenarnya boleh dilatih dan dipupuk kerana keyakinan diri sama seperti kemahiran lain yang boleh anda kuasai. 

Rahsia yang ketiga ialah suka dan cintailah diri anda sendiri. Bagaimana? Suka dan cintailah dengan cara memandang kekuatan dan menghargai kehebatan diri anda sendiri. Seandainya keyakinan diri ini sudah meresap ke dalam diri anda, maka anda tidak akan panik untuk menghadapi apa-apa jua situasi mendatang sepanjang anda menjadi pengacara majlis.