Saturday, June 13, 2020

BAB 2: TIP 1



BAB 2

BIJAK BERAKSI DI PENTAS

Apabila panduan asas pengacara majlis seperti yang dibincangkan dalam Bab 1 dilaksanakan, maka anda tidak perlu lagi terlampau risau. Peratus kebimbangan anda sekurang-kurangnya telah sedikit menurun kerana anda sudah pun melakukan persediaan. Jadi, adakah anda bersedia untuk beraksi di pentas? 

Tahukah anda, bagaimanakah caranya untuk seseorang pengacara majlis kelihatan terampil dan bijak beraksi di pentas? Jom, ikuti perkongsian penulis dalam Bab 2 ini, iaitu beberapa tip berguna yang boleh anda lakukan!   

BERGURU

Apabila anda terpilih buat pertama kali untuk menjadi seorang pengacara majlis, tentulah anda akan berasa seperti sesat jalan kerana anda tidak ada pengalaman dalam bidang yang berkaitan. Oleh sebab itulah, anda perlu belajar daripada seseorang yang telah mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut. Hal ini penting untuk meminimumkan peratusan anda membuat kesilapan semasa mengacarakan sesebuah majlis. 
Ada banyak baiknya jika anda meminta bantuan dan merujuk rakan-rakan yang lebih pakar dan berpengalaman terutamanya dalam aspek bahasa. Kadangkala pemilihan perkataan yang anda gunakan terlalu bombastik. Tidak salah jika anda menggunakan perkataan yang canggih ini tetapi mesti diingat, siapakah penonton atau tetamu anda? Di manakah tahap pemikiran mereka? Mohonlah tunjuk ajar dan pendapat daripada mereka yang lebih senior. Insya-Allah, ada ganjarannya. Merendah diri itu akan mengangkat darjat dan martabat berlipat kali ganda. 

Selain itu, anda juga boleh menghadiri bengkel dan kursus pengacaraan yang dikendalikan oleh pengacara majlis yang sangat berpengalaman. Bergurulah! Jangan hanya mengharap bacaan daripada buku. Pelaburan anda untuk menyertai program sebegini sebenarnya amat berbaloi. Anda berpeluang untuk berkenalan dengan peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan insan-insan hebat dalam dunia pengacaraan. Percayalah, anda tidak akan rugi! Paling penting, anda tidak akan berasa keseorangan kerana ramai lagi insan seperti anda. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan. Begitulah. 




No comments:

Post a Comment